“ Kasihku.. ku amat mencintai kamu.. kerna kau beri erti hidup..ku kan terus mencinta sedetik lebih… selepas selamanya… “
Sayu mendengar lagu dendangan Anuar Zain. Begitu menusuk kalbu dan membuai jiwa. Adakah kita akan berasa sedemikian jika mendengarnya sewaktu hati kita gembira?? Tidak hairanlah ramai yang mampu menangis meskipun mendengar sebuah lagu yang cuma beberapa minit. Kerana dalam beberapa minit itu, mengandungi seribu satu rasa, seribu satu kisah yang hanya seseorang itu dapat fahami.
Mengambil bait dalam lirik lagu berkenaan membuatkan aku terfikir. Apakah yang akan aku lakukan jika aku mempunyai sedetik lebih daripada apa yang sedang atau telah aku lalui ?? Apakah yang akan aku ubah atau mungkin yang akan aku lakukan ?? Ada masanya kita merasakan sedetik itu amat bermakna kerana dalam sedetik lebih itu mengandungi harapan dan membuatkan kita merasakan kita mempu mengubah sesuatu.
Jika ada sedetik lebih aku akan buktikan kepada keluargaku yang aku boleh Berjaya. Jika ada sedetik lebih aku akan menyatakan kepada orang yang aku sayangi bahawa “aku sayang kamu” sebelum dia pergi dari hidup aku.
Sedetik lebih untuk kita perbaiki diri. Sedetik lebih untuk kita tidak mengulangi kesilapan. Sedetik lebih untuk segala-galanya pada masa-masa tertentu begitu bermakna buat diri kita. Kadang-kala kita tidak menhargai masa dan peluang yang ada di depan mata. Sehingga sesuatu terjadi dan kita tergamam! Sewaktu itu barulah kita sedar bahawa kita perlukan sedetik lebih berkenaan. Sewaktu kita genggam itulah seharusnya kita gunakan sebaiknya. Sama seperti setiap detik dan setiap saat kerana ia pasti bermakna.
Sedetik itu terlalu singkat. Kita mempunyai masa untuk belajar, maka belajarlah sebaik-baiknya.. Kita mempunyai masa untuk bermain, maka bermainlah sepuasnya. Begitu juga kita mempunyai masa untuk pengabdian kepada ilahi, maka lakukanlah sesempurnanya. Kita mempunyai masa untuk bersama orang yang kita sayangi, maka hargainya. Malah, kita mempunyai waktu untuk diri sendiri, maka gunakanlah ia.
Masa tidak menuggu kita. Sedetik itu bukan selamanya milik kita. Jangan mengharapkan kepada sedetik lebih, sebaliknya berpeganglah kepada sedetik yang kita ada. Itu adalah lebih baik.
:: Maaf aku tertulis terlalu panjang. Ini sekadar nasihat dan renungan kita semua bersama. Aku tulis bukan untuk saja-saja, tapi aku nak ingatkan kepada semua bahawa setiap detik itu bermakna. Renung-renungkanlah ::
karutmengarut
-farahannaty-

No comments :
Post a Comment